SEKAPUR SIREH
Bismillahirrahmanirrahim. Salam muhibbah salam ukhuwwah. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana mengizinkan saya untuk berwadah bicara sejenak di sini. Pertama sekali saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh Jawatankuasa Website Sekolah yang bertungkus-lumus meluangkan masa untuk membangunkan Portal Rasmi SK Seri Bemban ini.
Sebagaimana yang kita maklumi, dunia ICT berkembang begitu pesat dalam semua bidang termasuk bidang pendidikan negara. Kita perlu melangkah seiring dengan perkembangan ini agar kita tidak ketinggalan bahkan perlu melangkah selangkah kehadapan berbanding institusi-institusi pendidikan lain seumpama kita. Sehubungan dengan itu, lahirlah inisiatif untuk membangunkan laman web sekolah ini yang akan menjadi wadah untuk menyampaikan maklumat kepada semua pelanggan sekolah insyaAllah.
Dengan terbangunnya portal rasmi sekolah ini maka saya amatlah berharap agar semua maklumat tentang sekolah baik maklumat umum atau khusus, berita terkini tentang aktiviti dan program dari masa ke semasa dapat disampaikan serta dihebahkan kepada pelanggan sekolah dengan pantas dan berkesan. Saya juga berharap agar semua pelanggan sekolah dapat memanfaatkan portal rasmi ini untuk mendapatkan semua maklumat tentang sekolah demi untuk pembangunan pendidikan anak-anak kita insyaAllah.
SKSB Gemilang Dalam Dun Menjelang Tahun 2012. `Work for the best, achieve the best'. Sekian, terima kasih.
Pn. Ramlah bt. Hj. Majid
Guru Besar
SK Seri Bemban
SEJARAH SEKOLAH
Pengenalan
Sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan yang amat penting dalam membina dan merubah kehidupan sesebuah masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesesuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Disinilah tempat kita membina negara bangsa. Negara tidak akan maju dan mencapai wawasan sekiranya tanpa sistem pendidikan yang berkesan dan tiada penyediaan modal insan yang seawalnya. Jikalau sistem pendidikan dan carta organisasinya sahaja yang berkesan teapi pengurusannya lemah, maka citi-cita negara dan perbelanjaaan yang begitu besar diperuntukan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya tinggal terukir di pejabat atau di bilik guru besar dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata.
Panorama SK Seri Bemban |
Peringkat Awal
“ILMU ITU SULUH HIDUP”. Menyedari hakikat sepotong ayat ini maka kata sepakat telah dibuat oleh sekumpulan penduduk kampung terpencil lebih dari setengah abad yang lalu untuk mendapatkan sebuah institusi khusus tempat anak-anak mereka belajar.
Mukim Ayer Panas telah diterokai oleh lima orang sahabat. Masing-masing bergelar Tok Simpang yang dimakamkan di Kampung Asam Kumbang, Tok Majid , dimakamkan di Kampung Ulu Duyung, Tok Panglima Hitam dan Tok Pulau dimakamkan di Kampung Ayer Panas dan Tok Segading dimakamkan di Kampung Lubok Kasar. Mereka berasal dari Tanah Palembang dan sampai ke mukim ini pada penghujung tahun masihi 1800.
Sekolah Pondok
Pada tahun 1924 dengan kesedaran yang mendatang dan muafakat penduduk kampung, sebuah pondok telah didirikan di Kampung Ulu Duyung sebagai sekolah. Tapak bangunan ini telah diwakafkan oleh seorang penduduk kampung. Luas bangunan yang telah didirikan lebih kurang 12 m kali 6 meter.
Sekolah ini didirikan dengan cara bergotong –royong. Murid-murid menerima pelajaran sambil duduk bersila. Bahan-bahan tempatan seperti kayu hutan, buluh dan daun rumbia sebagai atap telah digunakan.Tiada nama khusus untuk sekolah ini. Tokoh terpenting yang mengasaskan sekolah ini ialah Datuk Penghulu Haji Yusof bin Aman.
Pada peringkat awal seramai 40 orang murid telah di tempatkan di sekolah ini. Kesemua murid-murid adalah lelaki.
Matapelajaran yang diajar ialah Bahasa Melayu yang terbahagi kepada tiga aspek iaitu Bacaan, Ejaan dan Tulisan (Jawi dan Rumi), Kira-kira, Tawarih, Ilmu Alam, Kesihatan, Senaman, Agama Islam dan anyaman serta kerjatangan.
Guru yang pertama bertugas ialah Allahyarham Cikgu Md Din bin Hj Joned. Beliau mendapat didikan dari Maktab Perguruan Sultan Idris(sekarang dikenali sebagai UPSI) Tanjung Malim Perak.Tanggungjawab seorang guru amatlah berat pada masa itu. Bertugas bersendirian dan terpaksa bertindak sebagai pentadbir (Guru Besar) dan guru bagi semua matapelajaran. Segala hal berhubung dengan sekolah terpikul dibahunya.
Pada tahun 1926, seramai enam orang murid perempuan mula belajar di sekolah ini. Murid yang cerdik telah naik ke darjah dua dan tiga. Darjah tiga merupakan darjah tertinggi. Untuk mengatasi kekurangan tenaga pengajar, murid-murid yang cerdik telah dipilih untuk membantu tugas guru.
Pakaian murid lelaki pada masa itu ialah biru dan seluar hitam. Murid perempuan pula memakai baju kurung. Tiada had umur yang ditetapkan bagi murid yang mahu bersekolah. Sekolah permulaan ini telah berkekalan sehingga tahun 1932.
Perkembangan
Pada 2.3.1932 sebuah sekolah baru yang lebih selesa telah didirikan. Sekolah ini letaknya lebih kurang satu kilometer dari bangunan lama. Tapak sekolah yang lama tidak dapat digunakan lagi kerana terlalu kecil dan tidak sesuai dengan bangunan baru. Luas kawasan yang baru ini hampir setengah hektor. Ianya dibina di atas tanah kerajaan. Ianya juga mendapat bantuan penuh dari kerajaan.
Bangunan ini berbentuk ‘I’ dan dua tingkat. Tidak ada sekatan bilik darjah. Bilik darjah hanya disekat dengan papan adang-adang. Sekolah ini pada permulaannya dikenali sebagai Sekolah Melayu Ayer Panas kemudian ditukar menjadi Sekolah Umum Ayer Panas dan bertukar lagi kepada Sekolah Kebangsaan Ayer Panas.
Sebuah rumah guru juga telah didirikan berhampiran dengan bangunan sekolah. Bangunan rumah guru ini terpaksa diruntuhkan kerana projek pembinaan bangunan baru.
Bangunan Baru
Pada 31.1.1981, sebuah bangunan baru yang lebih moden telah didirikan oleh kerajaan dengan belanja lebih kurang dua ratus ribu ringgit. Bangunan ini didirikan sepenuhnya oleh kerajaan. Bangunan batu dua tingkat ini dilengkapi dengan empat bilik darjah, bilik tayang, bilik perpustakaan (kedua-dua adalah diubahsuai dari bilik darjah ) bilik guru dan pejabat.
PIBG telah sebulat suara memberikan nama baru kepada sekolah ini. Atas persetujuan ramai dan kelulusan dari pihak berkuasa ,sekolah ini telah diberi nama “SEKOLAH KEBANGSAAN SERI BEMBAN". Ini mengambil sempena nama pokok-pokok bemban yang banyak terdapat di kawasan ini pada satu masa dahulu.
Bangunan Tambahan
Atas usaha gigih dan sokongan kuat Guru Besar dan PIBG sekarang, sebuah bangunan tambahan telah dibina pada bulan Februari 1989. Bangunan ini didirikan adalah untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah.
Bangunan Terbaru
Pada 15.1.1997, JKKK Ayer Panas, telah bermesyuarat untuk memohon sebuah lagi bangunan tambahan bagi menampung kepadatan penduduk memandangkan adanya taman-taman perumahan di persekitaran kawasan sekolah.
Dengan peruntukan dari kerajaan, satu lagi bangunan baru tiga tingkat telah dibina pada awal bulan Februari 1997. Bangunan ini terdiri dari lapan bilik darjah, satu bilik sains, satu bilik KH dan satu bilik komputer. Bangunan ini siap digunakan pada 7.3.1998.
Terkini
Pada awal tahun 2007, sebuah bangunan makmal komputer telah dibina bagi pembelajaran ICT. Dengan adanya makmal komputer ini, maka aktiviti pengajaran dan pembelajaran kini lebih menarik menggunakan teknologi "ICTL" yang canggih dan terkini.
LOGO SEKOLAH
Reka Bentuk
Reka bentuknya merupakan bentuk sebuah gasing. Salah satu dari permainan tradisional rakyat Malaysia. Lambang penyatuan rakyat.
Motto-3T
TAAT Mengikut undang-undang atau peraturan.TEKUN Tekun dalam segala kerja.
TABAH Tabah menghadapi cabaran.
Lain-lain lambang
Lima gelung rotan Sukan dan permainan
Buku Gedung Ilmu
Pokok Melambangkan cita-cita yang sentiasa bertunas.
Buku Gedung Ilmu
Pokok Melambangkan cita-cita yang sentiasa bertunas.
LAGU SEKOLAH
Tajuk lagu: Taat Tekun Tabah
Taat perintah Tuhan
Tekun menghadap pelajaran
Tabah harungi semua dugaan
Itu azam kami sekelian.
SKSB kami indah
Gedungnya ilmu yang tercinta
Berdiri megah sungguhlah gagah
Setiap masa menabur jasa.
Kawan dan rakan sama belajar
Gelak ketawa senyum riang
Bersama guru yang dikasihi
Tetap setia membimbing kami
Jasamu harum mewangi
Baktimu tersangatlah suci
Sepanjang zaman dalam kenangan
Maju jaya SKSB kami
Taat perintah Tuhan
Tekun menghadap pelajaran
Tabah harungi semua dugaan
Itu azam kami sekelian.
SKSB kami indah
Gedungnya ilmu yang tercinta
Berdiri megah sungguhlah gagah
Setiap masa menabur jasa.
Kawan dan rakan sama belajar
Gelak ketawa senyum riang
Bersama guru yang dikasihi
Tetap setia membimbing kami
Jasamu harum mewangi
Baktimu tersangatlah suci
Sepanjang zaman dalam kenangan
Maju jaya SKSB kami
BENDERA SEKOLAH
Ukuran sebenar: 6 kaki X 3 kaki
Merah - Berani (Berani menegakkan Kebenaran).
Putih - Bersih.
Putih - Bersih.
MATLAMAT SEKOLAH
<> Berusaha ke arah mempertingkatkan kecemerlangan akademik
<> Melahirkan pemimpin yang berbakat dalam semua bidang di kalangan pelajar melalui aktiviti kokurikulum.
<> Mendidik dan membentuk akhlak murni di kalangan pelajar secara berterusan.
<> Berusaha untuk mengeratkan perhubungan yang baik dan mesra di antara staf dan ibu bapa supaya program sekolah dapat dijayakan sepenuhnya.
<> Mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran agar sesuai dengan cabaran negara ke arah Sekolah Bestari.
OBJEKTIF SEKOLAH
[] Melahirkan pelajar yang lengkap dari segi rohani dan jasmani agar menjadi insan.
[] Menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk keselesaan pelajar.
[] Memberi peluang yang optimum untuk pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.
[] Memberi pendidikan dan bimbingan sama rata kepada semua pelajar untuk merealisasikan potensi mereka yang terbaik.
[] Mewujudkan suasana harmoni dan kerjasama yang baik di antara guru-guru dan ibu bapa atau penjaga pelajar.
PIAGAM PELANGGAN
Kami warga SK Seri Bemban, Melaka kommited untuk memberi layanan terbaik kepada pelanggan kami seperti berikut:
MURID
1. Memastikan setiap murid boleh mendapat tempat belajar yang sesuai sebaik sahaja mendaftar.
2. Memberi layanan saksama dan mesra semasa berada di sekolah ini.
3. Memastikan setiap murid dapat menguasai kemahiran 3M sebaik sahaja tamat pendidikan peringkat Tahap 1
4. Memastikan semua murid Tahap Dua mendapat peluang menyertai kegiatan kokurikulum.
5. Sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan murid-murid.
6. Membentuk dan mengukuhkan sahsiah murid-murid.
STAF
1. Memastikan segala keperluan dan kemudahan staf akan dibekalkan dari masa ke semasa.
2. Memastikan kebajikan staf sentiasa diambil berat.
3. Memastikan setiap pekeliling berkaitan dengan staf akan dibekalkan dari masa ke semasa.
4. Setiap staf akan diberi peluang memajukan diri melalui penyertaan kursus yang ditawarkan oleh JPM ataupun KPM dari masa ke semasa.
IBUBAPA/ PENJAGA
1. Memberi perkhidmatan dengan penuh dedikasi, berkhemah dan ikhlas.
2. Segala bantuan kerajaan diagihkan dengan seadilnya berdasarkan sosio-ekonomi keluarga.
3. Bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mengikut saluran yang dibenarkan.
4. Memastikan segala masalah disiplin diselesaikan bersama dalam keadaan harmonis.
STAKE HOLDER
1. Memastikan setiap arahan dan permohonan dari PPD / JPM / KPM mendapat perhatian dan tindakan dengan segera.
2. Setiap urusan akan dirujuk kepada mandat berkaitan.
Syabas dan tahniah atas usaha semua yang terlibat dalam pembinaan blog sekolah ni.....memang cantik dan menarik...salute ustaz and co.
ReplyDeleteTerima kasih Admin PPK...hasil berkat usaha semua ahli Jawatankuasa Website Sekolah. Sama-samalah kita majukan SKSB.
ReplyDelete